Saturday 12 May 2012

House Hunting - Part 3

As Salam...

Dah lama rasanya tak update pasal pencarian rumah ni. Hmmm... pencarian rumah Eey ini sudah berakhir, akhirnya. Eey dan En F telah berjaya memilih rumah yang masing-masing setuju dan mampu.

Besar atau kecil tidak menjadi masalah buat kami. Keluarga pun tak besar, cuma kami berempat sahaja yang akan mendiami rumah tersebut. Asalkan selesa juga mampu untuk membayarnya dan yang paling penting ianya milik kami. Alhamdulillah, tidak perlu membayar untuk orang lain lagi selepas ini.

Selepas memerima email gambar rumah tempohari, Eey dan En F masing-masing bersetuju untuk membeli rumah tersebut. Temujanji dibuat untuk membayar 3% pendahuluan dari harga keseluruhan rumah tersebut kepada agen berkenaan. Baki 7% lagi Eey keluarkan dari KWSP. Dan perjalanan memiliki rumah pun bermula...

Pertamanya, pencarian pinjaman perumahan perlu dibuat. Setelah meninjau beberapa bank, Eey dapati hanya dua bank (Alliance Islamic Bank dan Public Bank) memberi tawaran yang menarik iaitu BLR -2.2% untuk pinjaman kurang RM 200,000 dan tempoh pinjaman adalah sehingga umur 70 tahun. Lain bank, lain tawarannya. Oleh itu, kepada mana-mana pembeli rumah (terutama untuk pembelian rumah sub sale) adalah perlu untuk meninjau dan mencari tawaran yang paling baik untuk pinjaman perumahan anda. Kerana pinjaman perumahan adalah untuk jangkamasa panjang, bukannya setahun dua.

Antara dokumen yang diperlukan untuk permohonan pinjaman adalah 3 bulan slip gaji, 3 bulan penyata bank, penyata KWSP, salinan kad pengenalan pemohon dan borang EA. Proses permohonan adalah dalam 2 hingga 3 minggu. Setelah permohonan Eey berjaya, langkah seterusnya adalah menandatangani Perjanjian Jual Beli (S&P). Untuk ini, Eey gunakan khidmat peguam yang dicadangkan oleh agen jualan rumah. Bayaran guaman adalah berdasarkan harga rumah yang dibeli. Untuk ini, Eey membayar RM 1,000 pendahuluan dan selebihnya adalah dari pengeluaran KWSP.

Sekarang, semuanya masih dalam proses menunggu salinan S&P yang telah ditandatangi oleh tuan rumah untuk ke langkah yang berikutnya, iaitu pengeluaran KWSP. Menurut peguam, salinan S&P ini Eey akan terima dalam jangkamasa 1 minggu. Setelah selesai dengan S&P, proses seterusnya akan mengambil masa sehingga 90 hari untuk selesai dan mendapat kunci rumah. Semoga segala urusan seterusnya ini dipermudahkan. Amin.










0 comments: